Pengambilan Suksis dalam polis dicadang ditingkatkan

Iklan
Kadet polis, Ahmad Zuhdi Amsyar Mat Zahari (dua dari kiri) menerima Sijil Kecemerlangan Kokurikulum yang disampaikan oleh Wan Hassan (tiga dari kanan). Gambar kecil: Wan Hassan

TUMPAT - Pengambilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) cadang diberi keutamaan kepada graduan Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) sehingga 30 peratus.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, cadangan diutarakan pihaknya ke peringkat tertinggi dan kementerian untuk dibincangkan.

Iklan
Iklan

Kata beliau, ketika ini hanya sekitar 15 peratus sahaja pengambilan anggota polis dalam kalangan keseluruhan 20,000 graduan Suksis institusi pengajian tinggi (IPT) dan peningkatan peratusan itu wajar dipertimbang kerana mereka sudah pun menjalani latihan berdisiplin selama tiga tahun.

"Graduan Suksis mempunyai latar belakang disiplin, jati diri dan ketrampilan tinggi yang boleh terus digilap tanpa memerlukan masa atau kos latihan tambahan oleh kerajaan.

Iklan

"Mereka dilatih dengan kawad, undang-undang dan pengurusan masa terbaik sejak di universiti yang memberi nilai tambah besar apabila mereka masuk ke alam pekerjaan,” katanya.

Wan Hassan (kiri) menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Dewan Tok Mek Ngah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir, Yang Dipertua PIBG SMK Chabang Empat, Datuk Zulkifli Abdullah.

Ketika ini, seramai 4,000 mahasiswa menyertai Suksis di IPT seluruh negara manakala lebih 200,000 pelajar sekolah menengah terlibat dalam Pasukan Kadet Polis.

Wan Hassan memberitahu, cadangan penambahan tersebut dikemukakan dalam perhimpunan kadet Suksis di Universiti Malaysia Perlis dua bulan lalu dan sedang dibincangkan di peringkat Bukit Aman.

"Kita berharap akan ada pengambilan khas tahun ini, bergantung kepada kekosongan jawatan dan persediaan pusat latihan.

"Saya akan terus membawa perkara ini ke dalam mesyuarat Persidangan Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis serta mesyuarat IG’s Update agar pengiktirafan terhadap usaha mereka dapat direalisasikan,” katanya.

Tambah beliau, bukan sahaja dalam PDRM, malah graduan Suksis turut mendapat perhatian syarikat swasta kerana memiliki ciri kepimpinan dan kebolehan berkomunikasi yang menonjol.

"Kita dapati pelajar yang aktif dalam Suksis mampu seimbangkan antara akademik dan kokurikulum. Ramai antara mereka capai keputusan cemerlang walaupun berhadapan cabaran masa.

"Mereka ini bukan sahaja cemerlang dari segi mental, tetapi juga mampu berdikari dan bekerja dalam pasukan,” katanya.

Wan Hassan yang juga alumni SMK Chabang Empat itu turut merasmikan Dewan Tok Mek Ngah di sekolah berkenaan.