AMPANG JAYA - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan enam notis kepada pemilik anjing yang gagal melesenkan haiwan peliharaan mereka dalam satu operasi penguatkuasaan di Jalan Indah 25 hingga 35, Taman Cheras Indah di sini.
Operasi bermula jam 2.30 petang pada Selasa itu dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ sebagai tindakan tegas dan berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPAJ) 2007.
MPAJ dalam kenyataan pada Khamis menegaskan bahawa pemilik anjing yang enggan atau gagal mendapatkan lesen sah akan berdepan tindakan undang-undang tanpa kompromi.
"Lesen adalah wajib bagi setiap anjing yang dipelihara di kawasan pentadbiran majlis, bagi menjamin keselamatan dan kebersihan awam," tegas pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan di laman Facebooknya.
Sehubungan itu, pemilik anjing yang masih belum melesenkan haiwan mereka diarahkan hadir segera ke Menara MPAJ.
"Caj dikenakan ialah RM30 bagi anjing yang telah dimandulkan dan RM50 bagi yang belum," tambahnya.
MPAJ turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah soal pelesenan, kerana tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala.
Sebarang pertanyaan boleh dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ di talian 03-4285 7007.