Wanita maut tercampak di KESAS: Suami direman empat hari

Iklan
Rusdi (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan direman selama empat hari bagi membantu siasatan berkaitan kes kematian isterinya yang berlaku di tepi Lebuhraya Shah Alam (KESAS), berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala ke Petaling Jaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan reman sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah pertengkaran mulut antara suspek dengan isterinya berkaitan penggunaan van.

"Wanita itu kemudian dipercayai terjatuh dari kenderaan yang dinaiki pasangan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.

Iklan

Rusdi berkata, suspek kemudiannya pulang ke rumah.

"Ketika tangkapan, kita memaklumkan kejadian itu kepada suspek,” ujarnya.

Iklan

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dilaporkan berkata, bahawa suspek merupakan suami kepada mangsa.

Beliau berkata, lelaki tersebut yang bekerja sebagai penghantar barang pendingin hawa mempunyai satu rekod jenayah lampau dan dua rekod berkaitan dadah.

Menurutnya, tangkapan dilakukan di Taman Kinrara, Puchong, Selangor sekitar jam 6 petang, Selasa.

Suspek memaklumkan telah berlaku pertengkaran mulut dengan isterinya ketika perjalanan pulang ke rumah. Pasangan itu telah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak.

Saringan ujian air kencing ke atas suspek mendapati beliau positif dadah jenis methamphetamine, benzo dan amphetamine.

Tambahnya, menurut suspek, mangsa juga terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.