Anak Pamela, beberapa individu di Singapura akan dipanggil polis

Iklan
Rusdi (tengah).

KUALA LUMPUR – Polis berkemungkinan akan memanggil tiga anak kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh serta beberapa individu lain di Singapura bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan wanita berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya mempunyai beberapa kaedah untuk merakam keterangan mereka sekiranya perlu.

Iklan
Iklan

"Kita boleh minta mereka hadir ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru. Selain itu, kita juga boleh rakam keterangan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

"Namun, ia bergantung kepada keperluan siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada Khamis.

Iklan

Rusdi berkata, setakat ini, polis telah merakam keterangan 16 individu termasuk suami kepada mangsa.

"Kita akan panggil semula suami mangsa sekiranya terdapat bukti baharu atau perkembangan terkini dalam kes ini,” katanya.

Iklan

Menurut Rusdi, polis juga akan meneliti proses perceraian antara mangsa dan suaminya sebagai sebahagian daripada siasatan.

"Kita menjalankan siasatan secara menyeluruh dan akan melihat keadaan sekeliling berkaitan penceraian mereka,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Pamela memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar jam 1.30 petang hingga 2.10 petang, pada 9 April lalu.

SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Pamela telah dipanggil hadir ke ibu pejabatnya pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti dijadualkan.

Peguamnya juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama.

Menurut kenyataan itu, tanggungjawab untuk mengesan keberadaan Pamela kini terletak di bawah bidang kuasa polis dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.