BENTONG – [DIKEMAS KINI] Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang dipercayai keluar rumah selepas merajuk gara-gara berlaku perselisihan faham dengan neneknya pada Jumaat.
Mangsa, Nordina Jeka, dikatakan meninggalkan rumah neneknya di Kampung Sungai Gabong di sini kira-kira jam 3.15 petang hari yang sama dengan berjalan kaki tanpa memaklumkan lokasi tujuannya.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, nenek mangsa ada mencari remaja itu kira-kira jam 9 malam di sekitar kawasan berhampiran dan di rumah ibu saudara mangsa di Jalan Telemong.
Menurutnya, kehilangan mangsa dilaporkan oleh neneknya pada jam 3 petang, Ahad.
"Hasil siasatan pihak polis dan maklumat orang awam, terdapat individu yang ternampak mangsa berhampiran projek tapak perkhemahan di Janda Baik di sini.
"Hingga kini, mangsa masih gagal dikesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Zaiham berkata, ciri-ciri fizikal mangsa adalah berkulit hitam manis, berketinggian kira-kira 1.5 meter dan berbadan sederhana.
"Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju-T lengan pendek berwarna merah dan seluar jean hitam,” katanya.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan remaja berkenaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2231999,” katanya.