BAGI yang sudah menyaksikan konsert Gen:KRU yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu, penulis pasti semua masih belum melupakan malam penuh energi dan nostalgia itu.
Namun dalam kerancakan tenaga trio adik-beradik itu, ada satu perkara mungkin tidak disedari ramai, iaitu kesihatan Datuk Yusry Abdul Halim yang kurang baik.
Jelas isterinya yang juga aktres Datin Lisa Surihani, Yusry sebenarnya kurang sihat pada hari pertama dan kedua konsert, tetapi keadaannya kini bertambah pulih sebelum konsert hari ketiga yang bakal berlangsung Sabtu ini.
"Beberapa saat sebelum pembukaan (konsert). Boleh rasa degupan jantung dia laju. 'Doakan i yang (sayang)'.
"Sebelum konsert hari pertama dan kedua Gen:KRU, Abang (panggilan Lisa buat Yusry) sebenarnya kurang sihat.
"Alhamdulillah Abang sekarang jauh lebih baik. Cuma berehat dan pulih buat masa ini sebelum konsert hari ketiga," kongsi Lisa menerusi Instagram miliknya.
Lisa atau nama lengkapnya, Lisa Surihani Mohamed, 39, turut memuat naik beberapa gambar momennya menenangkan Yusry.
Meskipun tidak sihat, Yusry; abangnya, Datuk Norman dan adiknya; Edry telah memberi bukan 100 peratus tetapi 200 peratus kepada peminat yang hadir menyaksikan konsert Gen:KRU.
"Macam-macam emosi dia rasa masa itu tetapi saya tetap ingatkan dia, buat seperti biasa. Usaha sebaik mungkin, yang selebihnya serahkan saja pada-NYA.
"Mereka sangat menghargai anda dan tidak mahu mengecewakan. Yang datang dan menonton, mereka tahu. Mereka sayang dan menghargai awak.
"Kak Chik (panggilan Lisa) tidak boleh kongsikan lebih banyak gambar untuk menghormati mereka yang belum datang untuk hari ketiga. Doakan mereka ye?" tulis Lisa lagi.
Ketika penulis hadir menyaksikan konsert Gen:KRU hari pertama, jelas kelihatan Lisa di penjuru depan pentas melihat Yusry membuat persembahan dan sesekali menghulurkan air serta tuala muka kepada suami tercinta.
Selepas menghiburkan peminat dua malam berturut-turut pada 3 dan 4 Mei, Konsert GenKRU akan diteruskan pada 10 Mei ini sebagai persembahan ketiga dan terakhir untuk peminat tempatan, sebelum ke Singapura pada 28 Jun depan.