PUTRAJAYA – Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi pegawai awam akan terus dilaksanakan secara fleksibel sempena pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan, dasar berkenaan diperuntukkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian SR.4.1.2, dan bertujuan mewujudkan keseimbangan antara keperluan agensi serta kesejahteraan pegawai, termasuk keharmonian kerja dan kehidupan.
Iklan
Iklan
"Selaras dengan pendekatan ini, ketua jabatan diberi kuasa mempertimbangkan permohonan BDR bagi pegawai yang mungkin terkesan dengan kesesakan aliran trafik sempena Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya pada Rabu.
Ujar JPA, langkah tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan dalam mengutamakan tadbir urus yang berdaya tahan dan prihatin, selari dengan nilai-nilai teras Madani seperti kesejahteraan, ihsan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
"Pegawai awam yang layak disaran untuk berhubung dengan ketua jabatan masing-masing bagi pertimbangan sewajarnya.
"Pelaksanaan dasar ini hendaklah berpandukan tatacara dan syarat yang telah digariskan dalam MyPPSM," tambah kenyataan itu.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei 2025 di Kuala Lumpur, Malaysia. Persidangan ini akan menghimpunkan pemimpin dari kesemua 10 negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu serantau, memupuk kerjasama ekonomi, serta memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.