CHERAS – Seorang wanita dipercayai tercampak daripada sebuah van, namun pemandu kenderaan tersebut tidak berhenti dan terus melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, seorang saksi melihat kejadian tersebut yang berlaku di tepi Lebuhraya Shah Alam (KESAS), berdekatan hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala ke Petaling Jaya, di sini pada Selasa.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa tercampak dari sebuah van dan kenderaan tersebut dipercayai terus meninggalkan lokasi.
"Seorang lelaki membuat panggilan kecemasan MERS 999 memaklumkan terdapat seorang wanita jatuh dari sebuah kenderaan.
"Beliau melihat mangsa tercampak dari sebuah van di tepi Lebuhraya KESAS berhampiran R&R Awan Besar dan van itu telah melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, mangsa dipercayai maut di lokasi kejadian dan kematian telah disahkan oleh petugas kesihatan dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM untuk tujuan bedah siasat.
Beliau berkata, mangsa merupakan seorang wanita berusia 44 tahun yang beralamat di Menglembu, Ipoh, Perak.
"Pihak polis masih menyiasat motif kejadian wanita tercampak daripada van tersebut,” ujarnya.