PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perbicaraan bela diri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram bagi jumlah sama, selesai pada Selasa.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil saksi terakhir, pakar analisis dokumen forensik dari PHA Handwriting Analysis Sdn Bhd, Tay Eue Kam, yang merupakan saksi pembelaan ke-26.
"Perbicaraan peringkat pendakwaan bermula pada 28 Ogos 2019 dan berakhir pada 30 Mei 2024, melibatkan 293 hari prosiding dengan 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan memberi keterangan.
"Mahkamah memerintahkan Datuk Seri Najib membela diri pada 30 Oktober 2024 dan prosiding pembelaan bermula 2 Disember tahun sama.
"Ini merupakan prosiding berakhir hari ini selepas mengambil masa 58 hari,” katanya ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bersidang di Istana Kehakiman di sini.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan), menetapkan 30 September depan untuk hujahan bertulis, manakala hujahan lisan ditetapkan pada 21 hingga 24 Oktober dan 27 hingga 31 Oktober ini.
"Saya percaya hujahan akan tertumpu kepada isu utama yang dibangkitkan pihak pembelaan. Terima kasih kepada semua pihak terlibat dan mahkamah mengosongkan semua tarikh prosiding yang ditetapkan sebelum ini,” katanya.
Mahkamah akan membuat keputusan sama ada Najib disabitkan kesalahan atau dibebaskan serta-merta selepas hujahan tersebut.
Antara saksi utama termasuk bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; bekas peguam syarikat 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; adinda Sultan Terengganu, Tengku Datuk Rahimah Putri Almarhum Sultan Mahmud dan pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam.
Najib, 72, berdepan empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun, denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.