PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menggesa pihak berkuasa segera menimbus kolam terbiar di Presint 17 di sini.
Menurutnya, tindakan itu perlu diutamakan bagi mengelakkan kejadian insiden yang meragut nyawa kanak-kanak berusia 12 tahun pada Isnin daripada berulang.
"Saya mohon kepada pihak berkaitan supaya mengambil tindakan segera menimbus kawasan ini jika sudah tidak digunakan, itu lebih selamat," katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi berkenaan di sini pada Selasa.
Ujar beliau, tindakan serupa perlu diambil pemilik tanah yang lain sekiranya terdapat kolam terbiar bagi menjamin keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak.
Terdahulu, mangsa ditemukan lemas oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut pada petang Isnin.
Lokasi kolam terbiar itu berdekatan jejambat Presint 17 menghala Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Kasturi.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) perlu membuat pemantauan kawasan-kawasan yang mempunyai kolam terbiar supaya tidak menjadi lokasi permainan kanak-kanak.
"Kawasan penduduk di sini, ibu bapa kebanyakannya bekerja jadi kadang-kadang hendak pantau anak pun tidak sempat. Lagipun kolam ini dah lama terbiar.
"Di depan PPAM Kasturi ini ada dipasang pagar, tapi pagar itu separuh sahaja.
"Jadi kita harap pagar ini disambung supaya dapat menutup jalan-jalan ‘tikus’ kerana ia turut bersempadan dengan Selangor, jadi kita nak elak sebarang kejadian seperti kecurian atau pencerobohan,” katanya.