KOTA BHARU - Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup keluar 400 liter petrol ke negara jiran gagal apabila kenderaannya ditahan dalam serbuan di Kampung Pauh Ganja di sini pada Ahad.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, kereta Proton Gen 2 yang dinaiki lelaki berkenaan diperiksa selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tong jerikin berisi ratusan liter petrol yang dipercayai akan diseludup ke Thailand.
"Polis turut mendapati tangki minyak kenderaan itu diubah suai untuk memenuhkan petrol.
"Suspek juga gagal menunjukkan sebarang permit sah untuk membawa barang kawalan itu," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Zulafendy memberitahu, operasi dilakukan PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor bersama Cawangan Khas (E5) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan dan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan hasil maklumat awam.
"Kereta berdaftar nombor tempatan itu turut dirampas dan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM8,940.
"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan suspek diserahkan kepada pihak KPDN Kelantan untuk tindakan lanjut," katanya.