Pemancing jatuh Sungai Pengkalan Nangka ditemukan lemas

Iklan
Mangsa ditemukan lemas oleh orang awam berdekatan lokasi kejadian. Foto JBPM

KOTA BHARU - Seorang pemancing yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pengkalan Nangka pada Sabtu ditemukan lemas kira-kira jam 11.23 malam Ahad.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nazdy Mohd Nor berkata, jasad Muhammad Salam Mohd Daud, 27, ditemukan oleh orang awam berhampiran lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, jasad mangsa yang timbul di permukaan air dilihat oleh orang awam dalam keadaan masih berpakaian lengkap serta sempurna.

"Pemeriksaan kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Nazdy memberitahu bahawa operasi pencarian pada pagi Ahad disertai oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Pengkalan Kubor yang melakukan selaman di lokasi mangsa terjatuh.

"Kita terpaksa menangguhkan operasi pada jam 6.47 petang Ahad akibat cuaca hujan dan berangin," katanya.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan bahawa Muhammad Salam bersama seorang rakannya, Mohammad Nor Amirul Mohd Zaid, 25, pergi ke sungai berkenaan untuk memancing kira-kira jam 9 malam.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai kerana terkejut dengan sebuah kenderaan yang menuju ke arah mereka.

Mohammad Nor Amirul yang turut terjatuh ke dalam sungai itu berjaya menyelamatkan diri.