SHAH ALAM – Kadar gaji ideal dan bermaruah bagi kategori bujang mahupun keluarga yang mempunyai dua anak sepatutnya berada dalam lingkungan RM5,000 ke atas, bergantung kepada lokasi sama ada menetap di bandar atau luar bandar.
Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) bulanan bagi satu isi rumah dicatatkan sebanyak RM4,729 bagi tahun 2023.
Malah, menurutnya, PAKW di kawasan bandar lebih tinggi berbanding luar bandar dengan nilai masing-masing RM5,040 dan RM3,631.
"Pengkelasan B40, M40 dan T20 hanya berdasarkan pendapatan kasar isi rumah, dan ia bukan ukuran tepat untuk menganalisis dapatan tersebut kerana tidak mengambil kira kos sebenar sara hidup.
"Sudah pasti jumlahnya juga berbeza mengikut negeri-negeri di Malaysia serta perbandingan kos sara hidup antara bandar dan luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu gaji dan kos sara hidup di negara ini dengan memfokuskan kepada keseimbangan antara pendapatan serta perbelanjaan rakyat.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Marzunisham Omar pada Mac lalu memaklumkan bahawa pertumbuhan gaji pekerja yang lebih perlahan berbanding kenaikan harga barangan turut menjadi antara punca peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, sejak tahun 2019, gaji nominal setiap pekerja hanya meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding kenaikan harga keseluruhan iaitu 9.3 peratus, manakala harga makanan meningkat sebanyak 17.4 peratus.
Bukan itu sahaja, kelompok B40 juga membelanjakan 52 peratus daripada pendapatan mereka untuk keperluan asas berbanding M40 (37 peratus) dan T20 (32 peratus).
DOSM pada 2 November 2024 turut melaporkan bahawa perbelanjaan sara hidup yang wajar bagi isi rumah mencapai purata nasional per kapita sebanyak RM1,314 sebulan.
Sementara itu, Aimi Zulhazmi berpandangan bahawa meskipun kadar inflasi dikatakan terkawal, pendapatan rakyat masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara.