ALOR SETAR – Kerajaan Kedah dengan kerjasama Tourism Kedah dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperkenalkan keunikan budaya Malaysia di pentas antarabangsa melalui Minggu Kedah di Ekspo Osaka 2025 di Jepun.
Program yang berlangsung di Pavilion Malaysia ini menarik lebih 200,000 pengunjung dari seluruh dunia.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penganjuran ini adalah satu kebanggaan buat negeri itu kerana menjadi negeri Malaysia pertama yang menganjurkan minggu khas dalam ekspo berprestij ini.
"Kedah bukan sahaja kaya dengan warisan dan keindahan semula jadi, malah merupakan cerminan hidup identiti budaya Malaysia.
"Kami berbangga menjadi negeri Malaysia pertama yang menganjurkan minggu khas di Ekspo 2025 ini. Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memperkukuh daya tarikan Kedah sebagai destinasi pelancongan dan hab pelaburan,” katanya.
Sepanjang minggu penganjuran, para pengunjung berpeluang merasai sendiri keunikan budaya, makanan tradisional dan tarikan pelancongan Kedah, sejajar dengan usaha Pavilion Malaysia memperkenalkan kepelbagaian negara kita kepada khalayak global.
Antara tarikan utama sepanjang minggu tersebut ialah demonstrasi hidangan tradisional yang diketuai oleh chef terkenal dari Kedah, Chef Din.
Selain itu, terdapat juga sesi interaktif penyediaan roti jala bersama kari ayam yang menjadi tumpuan utama pengunjung, memaparkan kekayaan rasa dan keunikan budaya.
Minggu Kedah di Ekspo Osaka juga turut menampilkan persembahan silat, seni bela diri tradisional Malaysia, oleh pasukan dari Kedah.
Dalam segmen fesyen pula, baju kurung Kedah diperagakan dalam gaya moden tetapi masih mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya dan para pengunjung juga diberi peluang untuk mencuba pakaian tersebut sebagai pengalaman langsung terhadap warisan tekstil Kedah.
Sorotan utama ialah pameran pelancongan Cuti-Cuti Kedah di bawah tema"Experience Kedah” sebagai sebahagian daripada kempen Visit Kedah 2025.
Inisiatif ini mempromosikan keunikan tarikan semula jadi dan budaya negeri Kedah, sekali gus menarik minat mendalam dalam kalangan pengunjung dan menggalakkan pertumbuhan pelancongan masuk ke negeri itu pada masa hadapan.