Pulau Pinang tubuh lembaga khas urus, lindungi sumber air mentah

Iklan
Kon Yeow ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Empangan Air Itam, pada Sabtu.

GEORGE TOWN - Kerajaan negeri akan membentangkan satu Rang Undang-Undang (RUU) khusus bagi mengurus, merancang dan melindungi sumber air mentah serta alam sekitar negeri ini secara lestari pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan datang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, untuk tujuan itu sebuah lembaga khas akan ditubuhkan bagi melaksanakan tugas-tugas hakiki secara khusus termasuk langkah pendakwaan berkaitan kepentingan isu air mentah di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Sekarang, kita ada Badan Kawal Selia Air di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Pulau Pinang).

"Sudah sampai masanya Pulau Pinang mempunyai sebuah enakmen dan menubuhkan satu lembaga pengurusan air mentah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Empangan Air Itam, pada Sabtu.

Iklan

Kon Yeow berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hanya mempunyai peranan khusus berkaitan operasi mengabstrak serta merawat air mentah untuk memenuhi keperluan harian penduduk.

Jelasnya, sebagai syarikat operator air negeri, PBAPP juga bertanggungjawab melaksanakan operasi pengagihan air terawat, penyelenggaraan infrastruktur bekalan air, kerja-kerja meningkatkan kapasiti perbekalan air, pengurusan akaun pelanggan domestik serta komersial dan pemulihan sumber air terawat.

Iklan

Beliau berkata, dengan adanya Lembaga Pengurusan Air Mentah Negeri berdasarkan enakmen baharu tersebut kelak, kerajaan negeri boleh meningkatkan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan sumber air mentah supaya kian lestari buat rakyat.