GUA MUSANG – Kementerian Pertahanan (Mindef) mengakui Kelantan menjadi penyumbang utama kepada tenaga ketenteraan negara.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, ia melibatkan pasukan tentera darat, laut dan udara.
"Kelantan antara penyumbang sumber tenaga ketenteraan dalam negara, sebab itu kita lihat Gua Musang dan Jeli antara jajahan yang paling ramai mempunyai veteran tentera," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Program Veteran Desa Madani di Masjid Jamek Tengku Muhammad Faiz Petra di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Menurut beliau, Mindef juga akan terus berusaha menarik minat golongan bukan Melayu sama ada Cina, India mahupun Bumiputera di Sabah dan Sarawak untuk berkhidmat dalam pasukan ketenteraan.
Ujarnya, bagaimanapun Mindef berdepan cabaran ekonomi apabila kawasan-kawasan yang mempunyai pembangunan baik dan banyak peluang pekerjaan menyebabkan golongan muda kurang berminat.
Adly memberitahu, kepelbagaian bidang kepakaran yang diperlukan oleh tentera mampu menjadi daya penarik kepada golongan lain untuk berkhidmat dengan pasukan keselamatan.
"Kita ada bidang siber yang merupakan perkara baharu dalam dunia ketenteraan. Jadi, kita akan terus mempromosikan perkara ini.
"Hal ini kerana tugas menjaga kedaulatan negara adalah tanggungjawab semua warganegara Malaysia," katanya.