PASIR MAS – Dua lelaki diberkas selepas dipercayai cuba menyeludup 10 ekor lembu dari Thailand apabila lori yang dinaiki mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Kandang di Jalan Gelang Mas, di sini pada Rabu.
Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 38 dan 27 tahun itu ditahan pada jam 4.20 petang semasa cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya diberkas.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan menemukan 10 ekor lembu di dalam lori tersebut dan siasatan awal mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan haiwan berkenaan.
"Lembu-lembu itu dipercayai diseludup masuk melalui pangkalan haram di sempadan negara untuk pasaran tempatan.
"Pemandu lori juga dikesan tidak memiliki lesen memandu manakala cukai jalan kenderaan tersebut telah tamat tempoh,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM150,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 serta Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek serta barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.
"PGA komited meneruskan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan haiwan yang semakin berleluasa di kawasan sempadan negara,” katanya.