KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas motosikal jenis Yamaha RX-Z yang ditunggang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 430 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini, pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, mangsa, Mohamad Faizal Adam Azhar, 31, yang beralamat di Kubang Kerian, Kelantan, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata berdasarkan laporan awal, kemalangan melibatkan tiga buah motosikal jenis Yamaha RX-Z yang dalam perjalanan dari arah Kelantan menuju ke Kuantan.
Menurutnya, dua lagi mangsa kemalangan berasal dari Kelantan dikenali sebagai Muhammad Arif Che Mahisan, 29, dan Muhammad Zarul Asyraf Mukhtar, 26.
"Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang Muhammad Arif sedang bergerak di lorong kecemasan sebelum dilanggar dari arah belakang oleh motosikal yang ditunggang Mohamad Faizal.
"Akibat pelanggaran itu, motosikal Muhammad Arif menggelungsur ke hadapan lalu melanggar motosikal yang ditunggang Muhammad Zarul Asyraf,” katanya di sini, pada Jumaat.
Ketiga-tiga motosikal terbabit kemudian terjatuh dan terseret di atas jalan, manakala motosikal yang ditunggang Mohamad Faizal tercampak ke dalam longkang konkrit.
Azli berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut, manakala dua lagi mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.
"Salah seorang daripada mangsa, iaitu Muhammad Zarul Asyraf, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala Muhammad Arif turut cedera pada kepala.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Difahamkan, kesemua mangsa dalam perjalanan menuju ke program RXZ Fighter yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat di Teluk Cempedak, Kuantan.