PORT DICKSON - Dua remaja lelaki yang menunggang secara melulu dan berbahaya ala 'superman' di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) ditahan polis pada Khamis.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan, mereka yang merupakan pelajar dari Nilai dan Klang itu dikesan melakukan aksi tersebut sekitar jam 6.15 petang di Kilometer 29.2 arah ke Port Dickson.
Menurutnya, tangkapan dibuat oleh anggota trafik yang sedang menjalankan Op Samseng Jalanan.
"Tindakan mereka bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri malah pengguna jalan raya lain.
"Kedua-dua individu bersama motosikal masing-masing telah dibawa ke Balai Trafik IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut," menurut perkongsian itu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya.
Ujarnya, tindakan itu bertepatan dengan ketegasan PDRM yang memandang serius terhadap perlakuan berbahaya di jalan raya terutama membabitkan penunggang remaja yang belum cukup matang terhadap risiko bakal dihadapi akan tindakan mereka.
"Ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah juga digesa untuk memainkan peranan dalam mendidik serta memantau aktiviti anak-anak agar tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan.
"Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terpelihara," katanya.
Sinar Harian bertarikh 21 April lalu, melaporkan Laluan SPDH jadi lokasi tumpuan aksi bahaya mat motor.
Permukaan jalan lurus dan kurang kenderaan antara faktor SPDH menjadi pilihan kumpulan itu berkonvoi dan menguji kelajuan jentera.
Tinjauan Sinar Harian pada malam minggu mendapati, hujan renyai tidak menghalang aktiviti sekumpulan remaja menjadikan kawasan persimpangan lampu isyarat di Persiaran Pahlawan berhampiran Taman Sunggala sebagai lokasi berkumpul sebelum memecut laju dengan pelbagai aksi berisiko tinggi.
Biasanya pada malam Jumaat dan Sabtu bermula lewat malam dan adakala berlarutan hingga jam 3 ke 4 pagi menjadi waktu kumpulan itu beraksi.