Johari Shukri dilantik Presiden dan CEO baharu UDA

Iklan
Johari Shukri dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad berkuat kuasa pada Jumaat.

SYARIKAT pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) mengumumkan pelantikan Johari Shukri Jamil sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, berkuat kuasa pada Jumaat.

Menurut UDA, Johari berpengalaman lebih 28 tahun dalam sektor korporat merangkumi hartanah dan pembinaan, pelaburan hartanah, pembangunan perindustrian, logistik, minyak dan gas serta kejuruteraan.

Iklan
Iklan

Pencapaian beliau dalam perubahan transformasi dan penciptaan nilai akan menjadi tunjang utama mengemudi fasa pertumbuhan UDA.

Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, barisan Ahli Lembaga Pengarah mengalu-alukan pelantikan Johari dan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan (MoF) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang telah memberikan persetujuan lantikan tersebut.

Iklan

"Kami memandang ke hadapan untuk bekerja bersama beliau dalam usaha memacu pertumbuhan seterusnya memperkukuhkan UDA.

"Johari diharapkan berupaya menyuntik idea dan pembaharuan menerusi dimensi, kaedah serta pendekatan baharu selain mengutamakan objektif asal penubuhan UDA untuk memenuhi agenda pembangunan sosial termasuk ekonomi bumiputera,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sebelum menyertai UDA, Johari Shukri pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan PASDEC Holdings Berhad dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn Bhd iaitu pengurus aset Hektar Real Estate Investment Trust (REIT).

Beliau berjaya memacu Hektar REIT melalui fasa pemulihan pasca pandemik selain menerajui agenda pertumbuhan dan kepelbagaian sekali gus memulihkan keuntungan syarikat tersebut.

Johari Shukri telah diiktiraf sebagai Malaysia Top Achiever 2023 bagi CEO of The Year, Leadership Excellence In REIT Management anjuran The Leaders Online.

Antara jawatan lain yang pernah disandang oleh beliau, termasuk Naib Presiden Eksekutif, Pembangunan Perniagaan dan Pejabat Transformasi di Iskandar Investment Berhad, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EA Technique (M) Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Tanjung Langsat Port Sdn Bhd serta pelbagai jawatan kanan dalam beberapa syarikat Johor Corporation.