KUANTAN – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah kereta dalam kejadian berhampiran Pasar Raya Giant, Jalan Tanah Putih di sini, petang Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa, Muhammad Farish Haiqal Mohd Redwan, 18, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta Proton Saga BL dalam perjalanan dari Bandar Kuantan menuju ke Indera Sempurna.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta sedang bergerak perlahan kerana kesesakan trafik. Ketika itu, motosikal yang datang dari arah belakang hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kereta tersebut.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan kecemasan,” katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.51 malam ketika menerima rawatan.
"Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Namun, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan – motosikal di bahagian hadapan dan kereta di bahagian belakang,” katanya.
Tambah Wan Mohd Zahari, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaannya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.