SHAH ALAM – Pelaksanaan pendekatan 3K yang merangkumi kebajikan, kemahiran, dan keberhasilan disifatkan sebagai langkah holistik serta progresif oleh kerajaan dalam memartabatkan golongan pekerja di negara ini, termasuk penjawat awam yang merupakan tulang belakang perkhidmatan kepada rakyat.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, pendekatan itu selari dengan tema sambutan Hari Pekerja 2025 iaitu 'Pekerja Kesuma Bangsa, Malaysia MADANI', yang mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pengukuhan peranan dan kesejahteraan warga pekerja.
Menurutnya, antara inisiatif utama yang mendapat sokongan padu Cuepacs termasuk pelarasan gaji penjawat awam sehingga 15 peratus dan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 4.3 juta pekerja di seluruh negara.
"Kerajaan turut memperluaskan perlindungan sosial PERKESO kepada 24 jam serta memperkenalkan beberapa elaun baharu di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) seperti elaun bekerja semula awal, elaun latihan dan elaun mobiliti yang jelas memberi jaminan tambahan kepada tenaga kerja negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, Cuepacs turut menghargai pelaburan besar kerajaan dalam pembangunan kemahiran digital dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), antaranya menerusi pelancaran aplikasi MYFutureJobs dan program latihan di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
Adnan berkata, pengiktirafan terhadap peranan kesatuan sekerja juga semakin terserlah menerusi pengenalan Kad Pekerja Madani serta penyelarasan undang-undang buruh di Sabah dan Sarawak, satu pencapaian besar yang dinanti lebih dua dekad.
"Kesungguhan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melibatkan kesatuan sekerja dalam perancangan dasar tenaga kerja negara wajar dipuji.
"Langkah berkenaan juga mencerminkan kerjasama tripartit yang baik antara kerajaan, majikan, dan pekerja dalam merealisasikan Malaysia Madani yang adil, inklusif, dan progresif," ujarnya.
Sehubungan itu, Cuepacs menyeru semua pihak untuk terus memperkukuh kolaborasi dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, kompetitif, dan berdaya saing demi manfaat jangka panjang negara.
"Pekerja Inovatif, Pemacu Transformasi – inilah semangat yang perlu kita terus nyalakan demi masa depan Malaysia," tegasnya.