SELEPAS dua tahun menyepi daripada dunia muzik, Diana Danielle kembali dengan penuh keberanian menerusi single terbaharunya, Raja Dusta.
Memilih pendekatan yang lebih nakal dan pedas, Diana menyuntik sindiran halus terhadap pengalaman hubungan toksik, menjadikan lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga simbol kekuatan buat mereka yang pernah menjadi mangsa janji palsu dan manipulasi.
Menurut Diana, lagu Raja Dusta adalah refleksi kepada pengalaman yang biasa dialami ramai wanita, namun dibawakan dalam suasana yang lebih rancak dan menyeronokkan.
"Saya mahu menghasilkan sesuatu yang lebih rancak, sebagai satu sindiran terhadap situasi saya sekarang.
"Walaupun boleh dikaitkan dengan pengalaman peribadi, lagu ini tidak ditujukan kepada sesiapa secara spesifik," katanya.
Menerusi lirik yang sarat dengan sindiran terhadap janji palsu dan manipulasi emosi, Diana menyeru pendengar untuk bangkit dan meraikan kebebasan daripada hubungan berat sebelah.
"Saya mahu orang menikmati lagu ini tanpa rasa benci. Ia tentang keberanian dan kebebasan untuk membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri.
"Jangan tertipu dengan kata-kata manis jika tindakan tidak seiring," ujar Diana yang turut popular dengan lagu Bersama Dengan Rindu.
Walaupun dibawakan dari perspektif seorang wanita, Diana menegaskan mesej Raja Dusta bersifat universal dan boleh dikaitkan dengan sesiapa sahaja yang pernah melalui hubungan yang merosakkan.
Bercerita mengenai proses rakaman, Diana mengakui pada awalnya dia berasa kekok kerana sudah lama tidak muncul dengan lagu baharu.
Namun, dengan sokongan kuat daripada penerbit John Jeeves, pihak pengurusan Universal Music, pengarah muzik video, para pelakon dan kru produksi, keyakinannya perlahan-lahan kembali.
"Saya agak goyah pada mulanya, tetapi semua orang di sekeliling sangat menyokong dan buat saya rasa selesa," katanya.
Rakaman video muzik Raja Dusta turut menjadi pengalaman menarik buat Diana apabila melibatkan tarian, pelbagai lokasi menarik dan sesi penggambaran yang panjang di Palm Garden Hotel, Putrajaya.
"Saya ulang banyak kali perkataan 'seronok' sebab memang itulah yang saya rasa! Walaupun mencabar dan di luar zon selesa, saya tahu saya perlu biasakan diri dengan rentak ini," kongsinya.
Sebagai penutup, Diana berharap Raja Dusta bukan sahaja mampu menghibur, malah menjadi teman dan pembakar semangat buat mereka yang sedang atau pernah melalui detik sukar dalam hubungan.
"Saya mahu orang menyanyikan lagu ini dengan kuat dalam kereta atau semasa mandi. Muzik adalah satu bentuk perayaan, dan saya harap sesiapa yang telah keluar daripada hubungan toksik dapat meraikan keberanian diri mereka," katanya penuh harapan.
Raja Dusta boleh mula didengari di semua platform penstriman digital, manakala video muziknya boleh ditonton di YouTube.