PUTRAJAYA - Kerjasama dua hala antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) dari Indonesia penting dalam usaha membanteras rasuah rentas sempadan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, usaha membanteras rasuah itu membabitkan pelbagai perkara termasuk pertukaran maklumat.
Beliau berkata, perbincangan kedua-dua pihak secara dasarnya bersetuju bahawa kerjasama antara dua institusi itu perlu diadakan secara berterusan dan konsisten dalam usaha menangani jenayah rasuah.
"Jenayah rasuah masa kini semakin kompleks serta merentasi sempadan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, delegasi SPRM yang diketuai Ahmad Khusairi mengadakan pertemuan dua hala bersama KPK yang diketuai oleh Wakil Ketua KPK, Agus Joko Pramono di Jakarta, baru-baru ini.
Pertemuan itu diadakan sempena penganjuran Anti-Corruption Learning Centre (ACLC).
Dalam pertemuan itu, Ahmad Khusairi berkata, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan serta merangka strategi untuk mengeratkan kerjasama khususnya dalam sektor operasi membabitkan perkongsian data, maklumat serta amalan terbaik antara agensi.
Kata beliau, kerjasama erat itu bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara SPRM dan KPK, malah mampu menangani pelbagai jenayah rasuah di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Agus turut bersetuju bahawa kerjasama rentas negara itu penting agar sesuatu kes siasatan dapat dijalankan dengan berkesan.
Jelasnya, kesepakatan kedua-dua pihak bakal membantu mengenal pasti modus operandi dan jenayah pengubahan wang haram yang semakin canggih.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM juga memperkukuh kerjasama strategik melalui program latihan Enhancing Financial Analysis semasa penganjuran ACLC.
Sesi perkongsian itu melibatkan kira-kira 80 peserta dan kebanyakannya terdiri daripada pegawai forensik perakaunan KPK.
Dalam sesi tersebut, peserta memfokuskan kepada teknik analisis kewangan, kajian kes berkaitan harta berlebihan dan aplikasi teknologi dalam proses analisis yang dijalankan.