Penunggang motosikal maut bergesel kereta

Iklan
Mangsa kemalangan di Jalan Banggol Beta, Tumpat meninggal dunia di lokasi kejadian.

KOTA BHARU - Seorang penunggang motosikal maut selepas bergesel dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Banggol Beta, Tumpat kira-kira jam 9.20 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun dari arah Chabang Empat menghala ke Kampung Banggol Beta.

Iklan
Iklan

Sebaik tiba di lokasi beliau berkata kereta yang dipandu lelaki itu bergerak memasuki simpang di sebelah kanan jalan.

"Tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa datang dari arah sama dipercayai cuba memotong kereta terbabit sebelum bergesel di sisi kanan kenderaan itu," katanya melalui kenyataan.

Iklan

Jelas beliau, akibat pergeseran itu motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kanan jalan dan terlanggar konkrit penghadang paip air.

"Mangsa kemudian terjatuh dan cedera parah pada bahagian kepala," katanya.

Iklan

Mohd Khairi memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bunohan sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

Mohd Khairi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati di jalan raya selain mematuhi had laju.

"Penunggang motosikal pula perlu memakai topi keledar walaupun melalui jalan kampung," katanya.