TAIPING - Seorang pegawai kesihatan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Larut di sini pada Rabu.
Semasa kejadian, mangsa, Ahmad Saharim Saudi, 50, dilaporkan berada di titik semak (check point) keempat dengan anggaran jarak kira-kira 3 kilometer dari kaki bukit.
Difahamkan, mangsa menyertai aktiviti mendaki tersebut bersama lebih 120 individu lain yang merupakan warga kerja Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar dan Larut Matang Selama.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian itu diterima pada jam 10.40 pagi.
Menurutnya, seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting dan Taiping digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa.
"Anggota operasi menaiki kenderaan pacuan empat roda milik Bukit Larut Resort ke check point ketiga dan berjalan kaki ke lokasi mangsa.
"Setibanya di sana didapati mangsa telah diberi rawatan oleh pegawai perubatan yang turut sama menyertai aktiviti tersebut sebelum disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, kerja-kerja membawa turun mangsa dijalankan anggota bomba dan dibantu petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi tamat pada jam1.31 petang," katanya.