Datuk terkejut cucu kesayangan maut dilanggar anak sendiri

Iklan
Lokasi kemalangan Noor Amilia dan bapa saudaranya di Kampung Kayu Rendang, Melor, Kota Bharu pada Sabtu.

KOTA BHARU - Seorang datuk mengakui masih terkejut dengan kehilangan cucu kesayangan yang dipelihara sejak kecil apabila orang yang melanggar pelajar Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Padang Kala, Noor Amilia Salwa Mohd Suhairi itu adalah anaknya sendiri.

Ismail Hassan, 69, berkata, semasa kejadian sekitar jam 5.30 petang pada Sabtu itu pada mulanya dia dimaklumkan anak keempat dari tujuh beradik, Muhamad Faris, 33, mengalami kemalangan di Kampung Kayu Rendang, Melor di sini.

Iklan
Iklan

"Saya ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan anak selepas dimaklumkan dia terlibat dengan kemalangan tetapi apabila tiba di sana, rupanya bukan sahaja anak tetapi cucu yang dibesarkan sejak berusia lima tahun turut sama terlibat dalam kemalangan itu.

"Saya dimaklumkan ketika kejadian anak dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Melor selepas selesai bekerja sebagai tukang rumah di Pasir Pekan, Tumpat. Setiba di lokasi kejadian sebuah motosikal dipercayai tiba-tiba membelok ke kanan untuk masuk simpang ke kedai mi celup," katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Kayu Besar di sini pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, tindakan penunggang motosikal itu dipercayai menyebabkan Muhamad Faris tidak sempat membrek sebelum merempuh motosikal dinaiki Noor Amilia Salwa dan mereka terjatuh di atas jalan.

Ujarnya, Muhamad Faris hanya mengetahui mangsa yang dilanggar itu adalah anak saudaranya selepas ambulans tiba.

Iklan

"Sehingga sekarang dia yang mengalami cedera ringan masih trauma dengan kejadian tersebut dan bersedih dengan kehilangan anak saudaranya," katanya.

Ismail memberitahu, Noor Amilia dimasukkan ke Hospital Pakar USM (HPUSM) untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan parah di kepala, paru-paru serta patah lengan kanan.

Katanya, cucunya itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 10.30 pagi pada Isnin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mukim Haji Hussin Melor Lama.

"Selepas pemergiannya, saya baru teringat Noor Amilia ada memberitahu arwah ayahnya ada memanggil dia. Saya ingatkan itu hanya gurauan.

"Sebelum keluar dari rumah pada petang kejadian, dia ada beritahu teringat kenangan bersama arwah ayah yang meninggal dunia sembilan tahun lalu akibat terjatuh di tempat kerja. Lelaki itu sering membawa pulang mi celup ke rumah untuknya," katanya.