SHAH ALAM - Seorang remaja lelaki cedera selepas bergelut dengan dua individu yang dipercayai cuba menculiknya ketika berjoging di kawasan Seksyen 13 di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berumur 15 tahun pada jam 10.42 malam.
"Kejadian berlaku sekitar jam 5.15 petang ketika mangsa sedang berjoging seorang diri sebelum didatangi sebuah kereta lama berwarna kelabu, disyaki jenis Proton Saga atau Iswara dinaiki dua lelaki.
"Salah seorang suspek turun dari kenderaan dan mengacukan pisau sambil mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta, namun mangsa enggan dan berlaku pergelutan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Iqbal berkata, mangsa berjaya melarikan diri ke pondok pengawal kondominium berdekatan untuk mendapatkan bantuan.
"Mangsa mengalami kecederaan di pipi kanan serta luka pada lengan kiri dan kanan, dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.
Tambah beliau, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628 bagi membantu siasatan.