Ragut rantai emas, tukang rumah dipenjara lima tahun

Iklan
Seorang tukang rumah dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Selasa kerana meragut seutas rantai emas milik seorang wanita di kedai makan, minggu lepas. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang tukang rumah dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana meragut seutas rantai emas milik seorang wanita di kedai makan, minggu lepas.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap Hussein Iyasamy, 39, dan memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 April lepas.

Iklan
Iklan

Bapa satu anak itu mengaku bersalah meragut seutas rantai leher emas milik mangsa yang berusia 47 tahun itu di sebuah kedai makan di Taman Mutiara Fadason, Kepong, di sini pada 12.38 tengah malam, 24 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.

Iklan

Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang makan di restoran didatangi tertuduh yang meminta sebatang rokok tetapi mangsa tidak memberikan rokok kepada tertuduh.

Tertuduh kemudian beredar dari kedai makan tersebut namun berlari semula ke arah meja mangsa untuk meragut rantai emas di lehernya sebelum dia berjaya ditangkap oleh orang ramai dan polis peronda.

Iklan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira faktor tertuduh melakukan jenayah di tempat awam dan di khalayak ramai.

Hussein yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung isteri dan seorang anak. - Bernama