Arwah seorang yang rendah diri, ikhlas perjuangkan Bersih - Maria Chin

Iklan
Maria Chin (tengah) membuat hantaran foto kenangan bersama Shahrul Aman (kanan) menerusi Facebook pada Selasa.

SHAH ALAM - Allahyarham Shahrul Aman Mohd Saari disifatkan sebagai seorang yang ikhlas, merendah diri serta teguh dalam perjuangannya bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, Allahyarham menjadi tempat bergantung khususnya ketika mereka diserang kerajaan Barisan Nasional (BN) dan sewaktu ramai ahli Bersih ditangkap.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Shahrul Aman banyak berkorban demi perjuangan dengan menyertai Bersih.

"Dia kehilangan pekerjaan dalam tempoh 24 jam, tanpa sebarang belas kasihan daripada majikannya yang tidak berperikemanusiaan.

Iklan

"Ramai juga yang kehilangan pekerjaan hanya kerana bergaul dengan Bersih atau dikenakan hukuman berat ketika menghadiri perhimpunan dan acara berkaitan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Media melaporkan bahawa Shahrul Aman, yang pernah memangku jawatan Pengerusi Bersih, meninggal dunia awal pagi Selasa di Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Iklan

Shahrul Aman memangku jawatan Pengerusi Bersih dari Mac hingga Oktober 2018 selepas Maria Chin Abdullah melepaskan jawatan tersebut.

Tambah Maria, Allahyarham seorang individu yang sentiasa menunjukkan sikap tenang dan diplomatik walaupun berdepan cabaran besar.

"Sebagai seorang pemimpin, rakan seperjuangan, sahabat, dan abang yang bertanggungjawab terhadap adik-adiknya yang masih muda, Shahrul akan sentiasa dikenang," ujarnya.