Rakyat boleh beli maksimum lima kampit beras putih tempatan

Iklan
Mohamad Sabu

SERDANG - Kerajaan telah mengedarkan lebih tiga juta kampit beras putih tempatan (BPT) ke seluruh negara menerusi program khas bagi membolehkan rakyat membeli maksimum sehingga lima kampit beras pada satu-satu masa.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas bekalan BPT kembali stabil hasil pelbagai langkah berkesan dilaksanakan kementeriannya, sejak beberapa bulan lalu.

Iklan
Iklan

"BPT (sudah) boleh beli lebih daripada dua kampit, cuma tidak boleh lebih dari lima kampit sahaja,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Perhimpunan Bulanan dan Majlis Rahmah Mesra Aidilfitri KPKM 2025 di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, 3.16 juta kampit BPT 10 kilogram diedarkan melalui program khas KPKM ke seluruh negara.

Iklan

Menurutnya, sehingga pertengahan April lalu, beras BPT berkenaan diedarkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

"Negeri-negeri seperti Selangor, Kedah, Perak dan Johor mencatatkan jumlah agihan tertinggi.

Iklan

"Langkah ini menjadi antara usaha penting kementerian untuk menjamin keterjaminan bekalan beras rakyat secara konsisten,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, Program Semarak Syawal 2025 yang berlangsung pada Mac lalu mencatatkan kejayaan bagi KPKM.

"Program ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada pengguna yang berpeluang mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri pada harga berpatutan, tetapi turut membantu meningkatkan pendapatan petani dan usahawan agromakanan menjelang perayaan.

"Program ini telah dilaksanakan di 262 lokasi seluruh negara termasuk Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, RTC serta Medan Niaga Satok di Sarawak dengan penglibatan seramai 9,005 usahawan tempatan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, KPKM berjaya mencatatkan nilai jualan mencecah RM21.43 juta yang sekali gus melepasi sasaran asal ditetapkan.

"Program Jualan Istimewa Semarak Syawal yang dilaksanakan secara serentak di 42 premis Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) seluruh negara pada 29 Mac lalu juga mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat,” katanya.