PELUMBA muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli sekali lagi mencuri tumpuan di pentas antarabangsa apabila menamatkan perlumbaan dua Grand Prix (GP) Sepanyol dalam saingan Piala Rookies Red Bull MotoGP di kedudukan podium pada Ahad.
Berlumba di Litar Jerez, Sepanyol, pelumba berusia 17 tahun kelahiran Terengganu itu hampir mencipta kemenangan sulung musim ini sebelum akur di tempat kedua, hanya dipisahkan 0.031 saat di belakang juara, Carter Thompson dari Australia yang mencatat masa keseluruhan 25 minit 46.043 saat.
Tempat ketiga pula menjadi milik pelumba Amerika Syarikat, Kristian Daniel (0.294s).
Sehari sebelum itu, Hakim Danish turut menamatkan perlumbaan satu di tempat kedua, membuktikan konsistensi dan keazaman luar biasa dalam aksi pembuka musim 2025.
"Saya amat gembira dapat kembali naik ke podium. Perlumbaan hari ini jauh lebih baik berbanding semalam. Saya cuba mengejar Carter sehingga ke garisan penamat.
"Hampir menang, tapi saya percaya masa saya untuk berada di puncak akan tiba," kata Hakim Danish selepas perlumbaan.
Lebih membanggakan, Hakim Danish menjadi satu-satunya pelumba yang mampu memberi saingan sengit kepada Thompson sepanjang perlumbaan sengit di Jerez itu.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Hakim Danish mencipta kegemilangan di Litar Jerez selepas meraih kedudukan podium pada perlumbaan kedua musim 2024 di lokasi sama.
Hasil dua podium berturut-turut itu, Hakim Danish kini mengungguli carta keseluruhan Piala Rookies Red Bull MotoGP 2025 dengan kutipan 40 mata, meninggalkan Thompson di tangga kedua (38 mata) dan Brian Uriarte di tempat ketiga (25 mata).
Selepas aksi penuh dramatik di Sepanyol, saingan kini beralih ke Litar Le Mans, Perancis yang bakal berlangsung pada 10 hingga 11 Mei depan, di mana Hakim Danish pastinya berazam untuk memburu kemenangan pertamanya musim ini.