Maritim Selangor tahan bot bawa 78 penumpang

Iklan
Maritim Selangor menahan sebuah bot yang membawa lebihan penumpang di di 0.15 batu nautika Tenggara Sungai Lima, Pulau Ketam pada Sabtu.

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot kerana membawa lebihan penumpang di 0.15 batu nautika Tenggara Sungai Lima, Pulau Ketam di sini pada Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot yang sarat dengan penumpang itu ditahan oleh KM Dang yang sedang melaksanakan rutin rondaan dan operasi khas di perairan Selangor pada jam 6.15 petang.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati terdapat dua orang lelaki warga tempatan berusia 18 dan 60 tahun berperanan sebagai nakhoda bot serta kru," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Abdul Muhaimin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bot itu telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana melanggar syarat sah lesen.

Iklan

"Kita mendapati lesen dan insurans telah tamat tempoh serta bot berkenaan membawa lebihan penumpang iaitu seramai 78 orang, bot tersebut juga melakukan pengubahsuaian yang jelas melanggar syarat sah lesen," katanya.

Beliau berkata, bot dan nakhoda dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952. Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim untuk sentiasa lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi jika mendapati terdapat individu gagal mematuhi syarat sah lesen.

"Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera," ujarnya.