Penemuan dua mayat: Polis rakam keterangan lima saksi

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung penemuan dua mayat dipercayai dibunuh

KAJANG – Seramai lima individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita dan anak saudaranya di sebuah rumah di Semenyih, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan lima individu iaitu jiran dan ahli keluarga mangsa.

Iklan
Iklan

"Ada beberapa saksi lagi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan pada esok (Isnin) bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, siasatan mendapati jangka masa sebenar kematian wanita berusia 53 tahun dan anak saudaranya berusia 25 tahun itu masih belum dapat ditentukan dengan tepat.

Iklan

"Bagaimanapun, ulat yang ditemukan pada mayat telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis jangka hayat, dengan kemungkinan kematian melebihi tujuh hari," katanya.

Naazron turut memaklumkan bahawa setakat ini, mayat kedua-dua mangsa masih belum diserahkan kepada keluarga dan tiada sebarang tangkapan dibuat.

Iklan

Pada Sabtu, media melaporkan bahawa polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.43 malam, hasil makluman seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang mengesyaki sesuatu selepas terhidu bau busuk dari rumah kakaknya.

Siasatan awal mendapati, kakak pengadu yang tinggal bersama anak saudaranya itu sudah hampir 10 hari tidak kelihatan di kawasan rumah mereka. Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada kesan geledah manakala pintu rumah berkunci dari dalam.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan punca kematian dikenal pasti akibat sesak nafas.

Naazron berkata, siasatan kes masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki bunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden R K Umesh di talian 012-6114900 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.