HULU SELANGOR – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung di sini, pada Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 9.30 malam apabila mangsa berusia 23 tahun yang memandu kereta Proton Satria dari arah Gombak menuju ke Bukit Beruntung bertembung dengan sebuah kereta Proton Iriz lal yang datang dari arah bertentangan.
"Siasatan awal mendapati kereta Proton Iriz yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Satria.
"Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Satria tersepit dan dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohd Asri berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
"Manakala pemandu Proton Iriz yang mengalami kecederaan dalaman dihantar ke Zon Merah Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan," ujarnya.