PEMAIN perseorangan lelaki kebangsaan, Justin Hoh berazam membantu skuad negara membawa pulang pingat pada penampilan sulungnya di Piala Sudirman yang akan bermula Isnin ini.
"Ini merupakan Piala Sudirman pertama saya, dan saya sangat teruja kerana dapat menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan.
"Saya berharap dapat menyumbang kepada usaha memenangi pingat dalam kejohanan ini. Namun begitu, matlamat utama kami adalah untuk bekerja sebagai satu pasukan – kerjasama amat penting untuk mencapai kejayaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Sukan Olimpik Xiamen, pada Sabtu.
Justin turut menegaskan bahawa dalam kejohanan berpasukan seperti ini, tidak semua pemain akan diturunkan ke gelanggang. Namun, beliau berikrar untuk tetap memberikan sokongan penuh kepada rakan sepasukannya.
"Walaupun saya mungkin tidak beraksi, saya akan terus menyokong rakan sepasukan dan mendoakan kejayaan mereka," tambahnya.
Piala Sudirman 2025, yang mempertandingkan kejuaraan berpasukan campuran, berlangsung di Xiamen, China, dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Perancis, dan Australia.
Justin, yang kini menghuni ranking ke-46 dunia, dijangka memainkan peranan sebagai sokongan kepada Leong Jun Hao dalam acara perseorangan lelaki.
Pemain muda berusia 20 tahun itu menyertai skuad negara susulan pengunduran dua tonggak utama, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong, yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan serta masalah kecergasan.