Fenomena 'badan tanpa kepala' isyarat pemimpin sudah hilang kepercayaan
Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian Isnin lepas berhubung pemilihan peringkat cabang PKR yang menyaksikan pelbagai kejutan apabila banyak nama besar tewas.
SHAH ALAM - Fenomena ‘badan tanpa kepala’ yang berlaku dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini dilihat sebagai petunjuk bahawa kepimpinan utama dalam sesebuah pasukan mula kehilangan kepercayaan akar umbi meskipun barisan pasukannya masih mendapat sokongan.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, senario di mana ketua cabang gagal mempertahankan jawatan sedangkan majoriti ahli jawatankuasa (AJK) daripada pasukannya menang, menandakan satu bentuk penolakan bersasar terhadap kepimpinan individu tertentu.