SHAH ALAM – Suspek kes tikam di hadapan sebuah bank di Seksyen 18, di sini, pada Khamis, direman selama tujuh hari sehingga 1 Mei ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, permohonan reman dijalankan di Wad Pemerhatian Hospital Shah Alam pada jam 3.15 petang, Jumaat.
Beliau berkata, perintah reman yang dikeluarkan oleh Majistret Nur Azureen Zainalkefli itu bermula pada hari yang sama.
"Suspek telah dimasukkan ke Wad Pemerhatian kerana mengalami sawan.
"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, suspek memiliki kad orang kurang upaya (OKU) kategori lembam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, beliau berkata, punca kematian mangsa adalah disebabkan luka tikaman di dada, berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Prosedur itu dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik, Dr Elyani Norazman, bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Mohd Iqbal berkata, mangsa tidak mempunyai kad OKU namun mengalami kecederaan kaki kanan akibat kemalangan tiga tahun lalu dan menggunakan alat ortopedik jenis 'Ilizarov'.
"Mangsa sudah berkahwin dan tinggal di Sentosa di sini, bersama isterinya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan,” ujarnya.