PELABUHAN KLANG – Sebuah gudang penyimpanan kertas dan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman di sini terbakar pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.10 pagi.
"Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.21 pagi.
"Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah gudang penyimpanan kertas berkeluasan 200x200 kaki persegi dengan anggaran 40 peratus struktur bangunan kelas C terbakar," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, kebakaran sedang marak ketika pasukan tiba dan kerja-kerja pemadaman terus dijalankan.
"Operasi pemadaman turut melibatkan bantuan daripada BBP Klang Selatan, BBP Klang Utara, BBP Pulau Indah, BBP Bukit Jelutong dan BBP Damansara dengan kekuatan seramai 27 anggota.
"Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.