KOTA BHARU - Kelantan merekodkan 436 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 memperoleh sekurang-kurang gred A- termasuk lapan calon meraih semua A+ dalam semua mata pelajaran.
Kejayaan turut menyinar dalam kalangan komuniti Orang Asli apabila 161 calon menduduki peperiksaan dan 124 daripadanya layak memperoleh sijil termasuk seorang calon cemerlang dengan 3A+ 4A 1A-.
Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Kelantan, Mat Lazim Mohammad berkata, pencapaian itu menunjukkan kesungguhan semua pihak termasuk guru dan ibu bapa dalam memastikan kejayaan calon.
"Bagi murid Orang Asli, ini adalah pencapaian paling baik dalam tempoh lima tahun dan tidak pernah ada semua A sebelum ini selain ada lima calon memperoleh antara satu dan dua A.
"Selain itu, kita juga ada 10 calon berkeperluan khas termasuk penglihatan dua calon menduduki peperiksaan dari hospital termasuk seorang mendapat 8A,” katanya sempena Pengumuman Keputusan SPM 2024 di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di Tunjong pada Khamis.
Menurut beliau, Kelantan juga mencatat peningkatan Gred Purata Negeri (PNG) 0.1 pada 4.62 berbanding 4.72, tahun lalu.
"Sebanyak 50 sekolah menunjukkan Gred Purata Sekolah mengatasi GPN bagi keputusan tahun ini.
"Sekolah Menengah Sains Machang dinobatkan sebagai sekolah terbaik SPM 2024 peringkat negeri apabila majoriti calonnya mencatat keputusan cemerlang dengan Gred Purata Sekolah 1.65 mengatasi GPN,” katanya.
Mat Lazim turut memaklumkan bahawa keseluruhan 26,986 calon mendaftar SPM tahun ini dengan 26,507 calon menduduki peperiksaan.
"Jumlah itu ialah 19,910 calon sekolah bantuan kerajaan, 4,515 sekolah agama kerajaan negeri, 653 Maktab Rendah Sain Mara, 127 sekolah swasta dan 1,302 persendirian,” katanya.