PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bencana banjir yang melanda Kelantan, Terengganu dan Kedah pada awal Disember tahun lalu tidak memberi kesan terhadap pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Malah kata Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adam berkata, tahap pencapaian calon di ketiga-tiga negeri itu menunjukkan peningkatan signifikan.
Iklan
Iklan
"Ini mencerminkan bahawa kesediaan dan kejayaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengendalikan peperiksaan dalam situasi bencana banjir," katanya menerusi sidang akhbar keputusan SPM 2024 di sini pada Khamis.
Menurutnya, antara langkah yang diambil KPM dalam mendepani situasi bencana banjir tahun lalu adalah menyediakan pusat peperiksaan alternatif, penempatan calon di asrama sekolah, kemudahan pengangkutan, khidmat sokongan psikologi dan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi.
"Ini adalah merupakan perkara-perkara yang sangat penting dan ia menggambarkan bahawa kesediaan KPM bersama dengan seluruh agensi kerajaan untuk memaatikan bahawa anak-anak kita tidak terkesan dalam menduduki keputusan SPM walaupun dilanda musibah banjir," jelas beliau.
Pada 2 Disember lalu, KPM melancarkan Op Payung bagi memastikan semua calon SPM 2024 di ketiga-tiga negeri berkenaan yang dilanda hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir.
Calon terjejas banjir ditempatkan ke asrama atau pusat peperiksaan alternatif bagi memastikan calon mendapat keselesaan menduduki peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan.