SPM 2024: Calon cemerlang di Selangor meningkat

Iklan
Jafri Abu

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumum hari ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan bagi negeri Selangor, dengan pencapaian keseluruhan yang terus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai antara yang terbaik di Malaysia.

Pengarah Pendidikan Selangor, Dr Jafri Abu berkata, Gred Purata Negeri (GPN) mencatatkan peningkatan kepada 4.59 berbanding 4.67 pada tahun sebelumnya, menunjukkan kemajuan positif dalam mutu akademik pelajar.

Iklan
Iklan

"Seramai 2,368 calon SPM di Selangor memperoleh keputusan semua A iaitu peningkatan sebanyak 3.65 peratus berbanding tahun lalu.

"Kita bangga dengan pencapaian ini kerana ia mencerminkan usaha gigih guru, murid dan ibu bapa dalam menghadapi cabaran pembelajaran pasca pandemik,” katanya ditemui pemberita di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di sini pada Khamis.

Iklan

Daripada keseluruhan 66,119 calon yang menduduki SPM di Selangor, 91.53 peratus berjaya memperoleh sijil penuh.

Sekolah-sekolah harian biasa dan luar bandar turut menunjukkan peningkatan prestasi, membuktikan bahawa jurang pencapaian antara kawasan semakin mengecil.

Iklan

580 calon SPM Sabah cemerlang semua A dalam semua mata pelajaran

KOTA KINABALU - Seramai 580 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Sabah memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pencapaian itu meningkat berbanding tahun lalu yang hanya mencatat seramai 484 calon mendapat keputusan cemerlang bagi gred A untuk semua mata pelajaran.

"Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki meningkat dari 484 calon atau 1.38 peratus pada tahun 2023 kepada 580 calon atau 1.65 peratus peningkatan pada tahun 2024 iaitu peningkatan seramai 96 calon atau 0.24 peratus.

"Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 3,437 calon atau 9.75 peratus pada tahun 2024 berbanding 5,046 calon atau 14.37 peratus pada tahun 2023 dan angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,609 calon atau 4.62 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SPM 2024 bagi negeri Sabah di Wisma Pendidikan di Likas, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, bagi calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2024 adalah seramai 13,265 calon atau 37.64 peratus berbanding 12,710 calon atau 36.18 pertaus pada tahun 2023.

"Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 555 calon atau 1.46 peratus berbanding tahun 2023," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumklan pada tahun lalu seramai bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM

adalah seramai 39,550 calon berbanding 38,800 calon SPM pada tahun 2023, iaitu dengan pertambahan sebanyak 750 calon atau 1.89 peratus.

"Sebanyak 313 pusat peperiksaan disediakan bagi mengendalikan peperiksaan ini. Pengendalian peperiksaan ini melibatkan seramai 13,085 petugas peperiksaan di negeri Sabah.

"Sejumlah 73 mata pelajaran ditawarkan kepada calon SPM Tahun 2024 melibatkan 113 kertas peperiksaan," jelasnya.


595 calon SPM Pahang raih keputusan cemerlang

KUANTAN - Seramai 595 calon daripada 16,942 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 78 calon atau 0.46 peratus berbanding 517 calon pada tahun lalu.

"Seramai 16,942 calon atau 95.99 peratus layak menerima sijil SPM pada tahun 2024, berbanding 16,782 calon pada tahun sebelumnya.

"Empat calon berjaya memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diduduki, menunjukkan pencapaian yang membanggakan dalam kalangan calon SPM tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar pada pengumuman keputusan SPM 2024 di Bilik Indera Bestari, JPN Pahang, Indera Mahkota di sini pada Khamis.

Ahmad Zamri memberitahu, bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 4,500 calon atau 26.56 peratus pada tahun 2024 berbanding 4,157 calon atau 24.77 peratus pada tahun lalu.

Jelasnya, seramai 6,513 calon atau 38.44 peratus pula telah memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2024 berbanding 6,374 calon pada tahun 2023.

"Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 139 calon atau 0.46 peratus berbanding tahun 2023," katanya.

Merujuk kepada Gred Purata Negeri (GPN), Ahmad Zamri memaklumkan pencapaian keseluruhan calon peperiksaan SPM 2024 di Pahang meningkat berbanding tahun 2023.

Jelasnya, peningkatan sebanyak 0.13 mata menjadikan nilai GPN bagi tahun 2024 sebanyak 4.23, berbanding 4.36 pada tahun sebelumnya.

"Trend peningkatan ini menunjukkan pencapaian calon SPM di Pahang semakin baik setiap tahun,” ujarnya.

Ahmad Zamri memberitahu pencapaian dalam kalangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) turut membanggakan apabila 12 daripada 84 calon memperoleh sekurang-kurangnya 5A-.

"Calon berkeperluan khas ini terdiri daripada pelbagai kategori, termasuk penglihatan, pendengaran, fizikal, pembelajaran dan pertuturan,” ujarnya.

Selain itu, Ahmad Zamri menambah, pencapaian kelayakan sijil dalam kalangan murid daripada latar belakang sosioekonomi rendah turut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Tambahnya jurang pencapaian antara murid dari latar belakang sosioekonomi rendah dan selain rendah semakin mengecil.

"Jurang pencapaian mengikut jantina turut menunjukkan peningkatan, dengan jurang merapat sebanyak 65.96 peratus, hasil daripada pelaksanaan program intervensi dan motivasi yang dilaksanakan secara strategik di semua daerah," katanya.

Dalam aspek prestasi sekolah, Ahmad Zamri berkata sebanyak 80 sekolah atau 41.67 peratus telah mencatatkan 100 peratus kelayakan sijil (LS), berbanding 73 sekolah atau 39.04 peratus pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, data terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 2.63 mata."Sebanyak 10 sekolah dikenal pasti mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik dengan catatan sekurang-kurangnya 2.30 mata.

"Tujuh daripada sekolah berjaya mencatat GPS di bawah 2.00 mata, lebih baik berbanding hanya lima sekolah pada tahun sebelumnya.

"Apa yang lebih membanggakan, tiga daripada sekolah berprestasi tinggi itu merupakan sekolah menengah harian," jelas beliau.

Ahmad Zamri berkata, 108 sekolah di seluruh Pahang juga menunjukkan peningkatan GPS, bersamaan 56.25 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Ini menggambarkan usaha gigih semua pihak dalam memastikan peningkatan berterusan dalam pencapaian akademik pelajar.

"Semua kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara warga pendidik, pentadbir sekolah, pegawai pendidikan daerah dan negeri serta sokongan berterusan daripada ibu bapa dan komuniti," katanya.