Tanah runtuh berhampiran pondok pengawal IABCGH

Iklan
Tanah runtuh di hadapan berhampiran pondok pengawal keselamatan IABCGH pada Jumaat. Foto tular

BENTONG - Laluan masuk utama ke Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands (IABCGH) ditutup kepada semua kenderaan sehingga dimaklumkan semula.

Iklan
Iklan

Pengarah IABCGH, Norazmir Ahmad, berkata, tindakan itu sebagai langkah keselamatan ekoran kejadian tanah runtuh di hadapan berhampiran pondok pengawal utama institut itu pada Jumaat.

Menurutnya, tanah runtuh berlaku kira-kira 10 meter dari pondok pengawal utama.

Iklan

"Semua urusan keluar masuk warga IABCGH dialihkan ke pos belakang yang terletak berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Layang.

"Pihak pembangunan sudah memaklumkan perkara ini secara lisan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong, dan surat rasmi sedang disediakan untuk tindakan lanjut," katanya dalam hantaran Facebook IABCGH.

Iklan

Dalam hantaran itu juga, beliau menasihatkan semua warga agar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk gangguan bekalan air dan elektrik.

Jelasnya, arahan penadahan air telah dikeluarkan dan langkah-langkah sedang diambil di blok latihan serta menara bagi menghadapi sebarang situasi yang mungkin berlaku.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya rakamkan kepada Pengarah IAB, Ab Aziz Mamat yang telah turun sendiri ke lokasi kejadian bagi meninjau situasi dan memberikan sokongan moral kepada warga IABCGH.

"Segala perkembangan berkaitan perkara ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa demi keselamatan dan kesejahteraan bersama," tambahnya.