Sultan Selangor, Tengku Permaisuri berkenan ziarah pusara Tun Abdullah

Iklan
Sultan Selangor berkenan dan Tengku Permaisuri berkenan ziarah pusara Tun Abdullah. Foto: Facebook Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menziarahi pusara Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada Selasa.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, keberangkatan baginda disambut anak-anak Allahyarham, Tan Sri Kamaluddin dan Nori Abdullah bersama suaminya, Khairy Jamaluddin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bacaan tahlil ringkas dipimpin oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir bersama Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Datuk Muhammad Farhan Wijaya dan Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Abdul Karim Maaseng Al-Makki.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri mengaminkan doa. Foto: Facebook Selangor Royal Office

"Baginda berkenan mengimbas kembali perkenalan dengan Allahyarham Tun Abdullah sejak berlaku peristiwa 13 Mei 1969 melalui ayah mertua Allahyarham, Datuk Mahmood Ambak.

Iklan

"Baginda mengenang Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang baik, beradat, budiman, halus tutur bahasa dan penuh tata tertib.

"Kali terakhir Sultan Selangor berangkat ke Makam Pahlawan adalah ketika Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein disemadikan pada 1976,” katanya pada Selasa.

Iklan

Allahyarham Tun Abdullah meninggal dunia pada 14 April 2025 di usia 85 tahun dan disemadikan di Makam Pahlawan pada 15 April 2025 mengikut Istiadat Pengebumian Negara.

Tun Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, meninggal dunia pada 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam pada itu, Selangor Royal Office memaklumkan, Sultan Selangor turut menziarahi dan membacakan doa di pusara Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Hussein Onn.