'Ada anak saya dalam kotak'

Iklan
Bayi perempuan dianggarkan berusia 36 bulan ditemui dalam kotak yang ditinggalkan di hadapan pintu rumah di Membakut.

BEAUFORT - Sebuah kotak bertulis 'ada anak saya dalam kotak' membawa kepada penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di hadapan pintu sebuah rumah di Membakut, dekat sini, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, bayi dianggarkan berusia 36 bulan ditemui oleh seorang lelaki yang ketika itu ingin keluar bekerja sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Wong Leong Meng berkata, saksi memaklumkan dia telah bangun tidur pada jam 5.40 pagi dan menyedari ada motosikal berlegar di hadapan rumahnya.

"Kira-kira jam 6 pagi, semasa saksi ingin keluar rumah untuk bekerja, dia ternampak satu kotak di hadapan pintu rumah bertulis 'ada anak saya dalam kotak ni. Tolong jaga anak saya semoga dipermudahkan rezeki.

Iklan

Kotak dengan nota meminta untuk menjaga bayi tersebut selain memaklumkan ada bayi di dalamnya.

"Saksi kemudian memeriksa kotak tersebut dan terdapat seorang bayi bersama tuala dan limau ditemui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Katanya lagi, bayi tersebut telah dihantar ke Wad Kanak-Kanak Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

"Permohonan untuk mendapatkan sampel darah bayi telah dihantar dan sampel darah telah diambil oleh pihak hospital untuk tujuan ujian paterniti," katanya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu mengesan pelaku dan boleh berhubung terus kepada pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Hafizuddin Mohd Tarmizi di talian 012-4175332 atau ke balai polis berdekatan," katanya.