Wajibkan CCTV di semua premis jagaan kanak-kanak - Juwairiya

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan guru tadika jadi mangsa samun bersenjata. Gambar kanan: Juwairiya

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak susulan peningkatan kes samun membabitkan wanita termasuk dalam premis penjagaan kanak-kanak.

Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Juwairiya Zulkifli berkata, pemasangan CCTV itu penting susulan dua kejadian samun berasingan dilaporkan di Jenjarom dan Sabak Bernam dalam tempoh dua hari melibatkan wanita.

Iklan
Iklan

"Pemasangan CCTV di dalam dan luar premis pusat jagaan amat penting bagi membolehkan identiti penjenayah dikenal pasti sekali gus memudahkan siasatan serta tindakan undang-undang diambil," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Juwairiya, peningkatan harga emas sejak kebelakangan ini dipercayai menjadi pendorong utama penjenayah menjadikan wanita sebagai sasaran kerana aksesori itu dilihat sebagai habuan mudah dan bernilai tinggi.

Iklan

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan wanita lebih berhati-hati terutama ketika berada di luar rumah dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling berikutan insiden samun yang boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana jua.

"Pihak polis juga perlu meningkatkan rondaan di kawasan kediaman, premis perniagaan dan institusi jagaan kanak-kanak bagi mengurangkan risiko jenayah seperti ini berulang,” katanya.

Iklan

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, tiga lelaki bersenjatakan parang menyamun sebuah taska dan bertindak agresif dengan menampar seorang guru wanita dalam kejadian di Tali Air 11, Pasir Panjang, Sabak Bernam pada Isnin.

Dalam kejadian berasingan, sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyamun seorang penjual bunga di sebuah kuil di Jenjarom, pada Isnin.