Lans Koperal didakwa minta rasuah RM500 daripada pesalah dadah

Iklan
Tertuduh diiringi anggota SPRM semasa hadir di Mahkamah Alor Setar pada Selasa.

ALOR SETAR – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kulim, pada Selasa atas dakwaan meminta suapan RM500 daripada seorang pesalah dadah tahun lalu.

Tertuduh, E Rajgunan, 33, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, Rajgunan, didakwa menerima wang tunai daripada Mohamad Isa Ibrahim, 52, yang didakwa telah melanggar syarat pemantauan di bawah Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar jam 2 petang, pada 24 Ogos 2024, di hadapan sebuah kilang di Jalan Lunas-Kulim.

Iklan

Bagi perbuatan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Zulfadli Azharuddin, yang memohon agar ikat jamin ditetapkan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, Rajgunan merayu agar jumlah itu dikurangkan, dengan alasan gaji bulanannya hanya RM1,400 serta perlu menyara isteri dan ibunya yang sakit.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.