KAJANG - Seekor buaya tembaga seberat lebih 300 kilogram (kg) yang dipelihara sejak 46 tahun lalu di sebuah kediaman di Taman Country Heights di sini berjaya dipindahkan dengan selamat.
Operasi pemindahan itu dilaksanakan sepasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor dengan kerjasama Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) pada 13 April lalu.
Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, proses pemindahan dilakukan bermula jam 9.30 pagi selepas pemiliknya membuat penyerahan secara sukarela atas dasar keprihatinan terhadap kebajikan haiwan dan menyokong usaha konservasi jangka panjang.
Menurutnya, pemindahan buaya itu dilaksanakan terus dari kolam yang berada dalam kawasan rumah pemilik.
"Buaya tembaga ini dianggarkan berukuran kira-kira empat meter panjang dan mempunyai berat melebihi 300kg.
"Berdasarkan maklumat pemilik, buaya betina itu telah dibela sejak lebih 46 tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, proses pemindahan mengambil masa kira-kira satu jam untuk menangkap, mengikat dan mengangkat buaya ke atas kenderaan jabatan sebelum dibawa ke Paya Indah Wetlands untuk tujuan pemerhatian dan penyesuaian habitat.
Jelasnya, pemilik reptilia itu mempunyai permit khas sah daripada Jabatan Perhilitan dan penyerahan sukarela itu dibuat selepas berpandangan bahawa penempatan buaya di pusat konservasi adalah lebih sesuai untuk penjagaan dan kelangsungan hidup buaya tersebut.