Rezal Zambery desak pengurusan Kelantan Darul Naim selesaikan isu gaji

Iklan
Rezal Zambery Yahya

PENOLONG pengendali Kelantan Darul Naim FC, Rezal Zambery Yahya, menggesa pihak pengurusan kelab agar lebih serius dalam menangani isu tunggakan gaji yang didakwa berlarutan selama enam bulan, selepas berakhirnya kempen Liga Super musim ini pada Ahad.

Bekas pemain Harimau Malaya kelahiran Johor yang berpengalaman hampir lima musim sebagai penolong jurulatih bersama Kelantan Red Warriors (TRW) sebelum menyertai Kelantan Darul Naim FC itu, menegaskan bahawa barisan pemain dan kejurulatihan telah menunaikan tanggungjawab mereka sepenuhnya biarpun bergelut dengan pelbagai kekangan sepanjang musim.

Iklan
Iklan

"Kami telah berusaha sedaya upaya dalam semua aspek walaupun berdepan dengan pelbagai kekurangan. Justeru, kami berharap pihak pengurusan tampil bertanggungjawab untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji, bukan sahaja kepada pemain tetapi juga kepada jurulatih dan pegawai pasukan,” katanya.

Rezal turut menegaskan bahawa walaupun berdepan dengan cabaran luar padang, skuad The Golden Deers tetap menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap perlawanan.

Iklan

"Kami tidak pernah memalukan pasukan. Pemain dan pegawai tetap hadir dan beraksi dalam semua perlawanan musim ini. Kini tiba masanya pihak pengurusan bersikap lebih telus dan serius menyelesaikan segala permasalahan yang sedang melanda,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan terakhir Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, yang menyaksikan Kelantan Darul Naim tewas 2-5.

Iklan

Sebagai rekod, Golden Deers mengakhiri cabaran Liga Super di kedudukan terakhir dalam kalangan 13 pasukan dengan mengumpul tujuh mata - dua menang, satu seri dan 21 tewas - selepas mengharungi 24 perlawanan musim ini.