Kedah disaran tubuh syarikat feri, penerbangan sendiri ke Langkawi

Iklan
Amar Pared Mahamud.

ALOR SETAR - Kedah disaran mengambil langkah berani mewujudkan sebuah syarikat feri milik negeri secara usahasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai alternatif ke Langkawi.

Amar Pared Mahamud (Bersatu-Kuah) berkata, langkah tersebut bukan sahaja akan memecahkan monopoli sedia ada, malah turut meningkatkan mutu perkhidmatan selain membuka peluang pekerjaan baharu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, saranan itu dipercayai dapat menawarkan perkhidmatan lebih berdaya saing, selamat dan mampu milik.

Justeru katanya, sudah tiba masanya kerajaan negeri lakukan tindakan berani dan tegas dalam memastikan perkhidmatan feri ke Langkawi semakin baik.

Iklan

"Feri merupakan nadi utama hubungan antara tanah besar dan pulau legenda ini, namun kebergantungan kepada satu operator feri sahaja menimbulkan pelbagai masalah termasuk ketidaktentuan jadual, tambang tinggi, serta gangguan logistik semasa musim puncak,” katanya ketika membahas usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Isnin.

Amar Pared berkata, perbincangan untuk mewujudkan laluan penerbangan bagi laluan Alor Setar ke Pulau Langkawi juga perlu dimulakan sebagai alternatif baharu jaringan pengangkutan.

Iklan

Jelasnya, turut disarankan juga sistem digitalisasi tempahan agar selaras dengan imej pulau pelancongan bertaraf dunia.

"Tahun Melawat Kedah 2025 adalah platform penting untuk mengangkat imej negeri.

"Langkawi sebagai ikon pelancongan mesti dipersiapkan dengan kemudahan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata, sebuah Jawatankuasa Pelaksanaan Tahun Melawat Kedah dan Tahun Melawat Malaysia peringkat Langkawi melibatkan semua pihak juga wajar ditubuhkan.

"Kerajaan negeri, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pemain industri dan wakil masyarakat perlu bersama majukan indsutri pelancongan, ia juga sebagai langkah persediaan negeri sempena kedatangan Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Sebagaimana dititahkan Tuanku Sultan Kedah, jaringan perhubungan dan pengangkutan, khususnya ke Pulau Langkawi perlu diperkasakan,” katanya.

Amar Pared turut menyarankan agar penjawat awam dan swasta yang berkhidmat di Langkawi tetapi tidak mempunyai kad pengenalan beralamat Langkawi diberikan keistimewaan harga tiket sama seperti penduduk pulau berkenaan.